Sabah, "Negeri Di Bawah Bayu", merupakan tempat lahirnya Universiti
Malaysia Sabah (UMS). Ia terkenal sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian
kumpulan etnik, budaya, dan kepercayaan yang menjadi simbol keharmonian
bangsa di negara ini. Sabah dianugerahkan dengan kekayaan sumber
alam semulajadi yang merupakan gedung ilmu yang tak terhingga nilainya
kepada manusia. Di samping itu, beberapa tempat yang menarik telah
menjadikan Sabah terkenal kepada kacamata dunia diantaranya termasuklah
Gunung Kinabalu, Banjaran Crocker yang megah, warisan semulajadi lautan
yang kaya dengan pebagai jenis hidupan, sanctuari orang utan di Sepilok
dan hutan tropika Lembah Danum yang masih belum terusik.

Kota Kinabalu, Ibu negeri Sabah, dan bandar di mana letaknya UMS,
menawarkan citarasa kehidupan di kota raya di samping mengekalkan
ketenteraman dan ketenangan hidup di desa. Ianya merupakan sebuah
bandar moden yang sedang pesat membangun. Kampus UMS di Teluk
Sepanggar Likas, kira-kira 15 minit perjalanan kereta, pastinya akan
menjadi tumpuan pencinta ilmu untuk menimba dan menabur ilmu pengetahuan
kerana suasana persekitaran kampusnya yang nyaman dan landskap yang indah.

Seperti universiti yang lain, Universiti Malaysia Sabah juga mempunyai
keistimewaannya yang tersendiri. Universiti Malaysia Sabah (UMS)
merupakan universiti malaysia yang kesembilan ditubuhkan selepas
Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti
Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Malaysia (USM),
Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Selain daripada itu, UMS juga mempunyai keluasan yang unik iaitu 999.99
ekar. Dengan kedudukannya yang terletak di Teluk Sepanggar, ini
memberikan kelebihan kepada UMS untuk menjadi satu-satunya universiti yang
mempunyai pantai di kampus induk.