ISMAIL HARON KEMBALI MENYANYI
?
copyright ©2002-2020
hassny inc.
muar johor darul ta'zim
| Ismail Haron Kembali 2 | kembali ke laman utama |
Oleh BENARKAH Ismail Haron pernah merajuk hingga
membawa diri ke Australia? Apakah benar beliau mempunyai keluarga di sana? Itulah antara persoalan yang belum lagi
terjawab mengenai penyanyi yang masih ramai peminatnya di sini biarpun telah
lama menghilangkan diri, Ismail Haron. Berbual dengan penyanyi yang mendapat
gelaran 'Tom Jones Singapura' itu ternyata ada cabaran tersendiri. Mungkin
setelah begitu lama menetap di Queensland, Australia (lebih 26 tahun),
kefasihannya untuk memahami dan bertutur dalam bahasa Melayu agak kurang lancar.
Beliau bahkan mengakui 'tidak ingat lagi lirik bagi kebanyakan lagu-lagu
Melayunya'. Apabila ditanya sejauh mana benarnya beliau
dikatakan merajuk (kerana hubungan dengan seorang artis?) sehingga melarikan
diri ke Australia ketika namanya sedang popular dalam 1977, Ismail tersenyum.
Seperti ada rahsia di sebalik senyuman tipisnya. 'Tidaklah, saya cuma nak belajar tentang
muzik. Masa tu, saya cukup minat muzik, tetapi tak cukup ilmu tentangnya,' akui
beliau. Ismail juga belum bersedia untuk menyingkap
kembali kehidupan yang telah ditempuhinya sebagai anak dagang. Mungkin masih
bingung dengan minat masyarakat terhadap kehidupannya, biarpun berada jauh di
Brisbane dan Gold Coast. Ismail sekadar meringkaskannya kepada 'macam
biasa-biasa saja, macam orang lain kerja dan jalani hidup seperti biasa'. Ismail, yang kini menetap bersama
keluarganya di Jurong, berkata keluarganya di Singapura beberapa kali
menghubunginya dan memujuknya pulang. 'Saya tak balik lebih awal sebab ada kerja.
Bila nak balik, pasport pula tak ada,' ujarnya. Urusan membawa Ismail pulang
dibantu seorang pegawai imigresen di sini. Apa yang menarik perhatian, apabila di
Queensland beliau terus mengasah vokalnya dengan menyertai kelas nyanyian opera.
Selain itu, beliau juga aktif menyanyi di kelab. 'Saya belajar teknik tarik suara dan
pernafasan yang betul. Menyanyi dengan betul penting untuk kesihatan,' ujarnya.
Mungkin disebabkan itu juga, suaranya tetap 'kong' ketika beraksi di Singapore
Expo. Apabila ditanya sama ada beliau sudah
berumah tangga seperti desas-desus yang pernah didengar, Ismail tersengih lagi. 'Tunggulah, dalam tempoh enam bulan lagi,
awak akan terima kad jemputan dari saya,' katanya sambil tersenyum. Serius ke
ini? 'Heh, tengoklah, kalau dalam masa enam bulan
ini, saya dapat jodoh dan ada orang nakkan saya,' selorohnya lagi. Mengenai album barunya nanti, kata Ismail,
ia merupakan projek kerjasama antara beliau dengan teman dari Malaysia yang
telah dikenalinya semasa berada di Australia. Album yang dijangka siap dalam
tempoh empat bulan lagi itu akan memuatkan lagu-lagu malar segarnya serta
beberapa lagu baru ciptaan beliau sendiri semasa berada di Queensland. Pendiriannya terhadap industri rakaman juga
ternyata sudah berubah. Jika zaman mudanya dulu beliau menyanyi kerana minat
tanpa terlalu memikirkan ganjaran kewangan, Ismail berkata pengalaman
mengajarnya agar melihat bidang itu sebagai satu bidang komersial dan pelaburan. 'Dalam usia sekarang, saya tak boleh
fikirkan soal glamor. Saya sudah tua. Mungkin saya hanya buat satu album saja.
Selepas itu, saya mahu buat kerja lain. Mungkin terus buat muzik, tetap bukan
untuk saya. Kalau boleh, saya mahu membantu kembangkan muzik Melayu di sini,'
ujarnya. Mungkin juga, dengan sumbangannya, kita akan
dapat melihat pengganti Ismail Haron kerana rasanya, sejak Jamal Abdillah dan
Saleem, telah agak lama kita tidak melihat penyanyi muda lelaki yang bersuara
gegar dan benar-benar 'jantan' sepertinya. 'Saya lihat Singapura dan Malaysia banyak
bakat baru belum didedahkan sepenuhnya. Melihat mereka, saya bersemangat
sama-sama bekerja dalam bidang ini semula. Lagu Melayu ada masa depan,' akuinya.
Hanim Mohd Saleh (Cyberita Singapura) 23 Mei 2003