Di sebalik ubat cerdaskan otak
Dalam pasaran di Malaysia hari ini terdapat begitu banyak
penawar minda. Suatu kekeliruan yang berlaku di kalangan masyarakat pula
iaitu kesan daripada iklan atau pernyataan-pernyataan orang tertentu yang
mempromosi barangan mereka dengan nama ubat cerdas (smart pills) atau
ubat kecemerlangan minda.
Ini termasuklah penawar-penawar homeopati,
khususnya yang diiklankan oleh akhbar-akhbar yang bukannya akhbar arus
perdana.
Pada hakikatnya, memanglah terdapat
penawar-penawar homeopati yang mempunyai kesan terhadap minda. Sekiranya
terdapat masalah mudah lupa, sukar faham apa yang diajar, resah bimbang dan
seumpamanya, masalah-masalah itu boleh ditemukan dengan penawar-penawar
homeopati tertentu.
Dari segi amalannya ia harus dipreskripsikan
oleh pengamal homeopati setelah melalui proses konsultasi sebagaimana juga
dalam merawat sebarang penyakit.
Tetapi oleh kerana penawar-penawar kombinasi
menjadi semakin popular dan mudah dipasarkan, timbullah idea sesetengah
syarikat untuk memasarkannya sebagai produk minda.
Masyarakat perlu jelas bahawa penawar homeopati
dalam bentuk kombinasi pun memang boleh memberi kesan terhadap minda.
Ia boleh dipasarkan secara komersial justeru
gabungan beberapa penawar itu memungkinkan lebih banyak simptom minda dan
simptom fizikal dapat dikumpulkan di dalam satu remedi.
Tetapi seperti ubat-ubatan lain, ia bukanlah
ubat bagi mencerdaskan atau mencemerlangkan pencapaian dalam peperiksaan.
Walaupun kesan pada peringkat akhir boleh jadi sampai ke situ.
Konsep mencerdaskan minda jauh berbeza dengan
tindakan penawar dari segi mengaktifkan, merangsang atau merawat simptom
minda.
Sesetengah kanak-kanak menunjukkan perubahan
yang positif setelah mengambil penawar minda homeopati tertentu. Ini pasti
berlaku sekiranya simptom pengguna itu menepati simptom penawar yang diambil,
seperti yang tertera dalam prinsip asas rawatan homeopati.
Tetapi korelasi di antara pengambilan penawar
itu dengan kecemerlangan seseorang dalam peperiksaan adalah sesuatu yang
sukar diukur.
Suatu perkara yang diketahui umum juga, semua
ubat tradisional perlu didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan untuk tujuan
pemasaran dan keselamatan pengguna.
Ubat-ubat itu diproses di sini dan kandungannya
yang kasar memerlukan penelitian bagi memastikan ia selamat digunakan oleh
pengguna. Tetapi sehingga hari ini, tiada satu pun kilang homeopati wujud di
Malaysia. Hampir keseluruhan penawar homeopati diimport masuk dan dibancuh
secara farmasi bagi kegunaan klinik.
Kaedah itu jugalah yang digunakan dalam membuat
penawar minda homeopati, sama ada ia dikomersialkan atau diberikan di klinik.
Seandainya kilang homeopati sudah bertapak di
Malaysia, sudah tentu ramai pengamal homeopati di Malaysia berpesta lega
justeru tidak perlu membeli dari syarikat yang mengimportnya dari England,
Jerman, Pakistan dan India.
Demikian juga sudah pasti di negara kita boleh
ditemui Malaysian Homoeopathic Pharmocopoeia sebagaimana yang ada di
negara-negara lain yang memberi garis panduan bagaimana penawar-penawar itu
dibuat atau dikilangkan.
Taktik menggembar-gemburkan sesetengah ubat
hoemopati itu sebagai dikilangkan oleh kilang bertaraf GMP mengelirukan ramai
pengguna, bahkan pengedar barangan itu sendiri.
Pertama urusan pengilangan yang sebenar tidak
berlaku. Kedua, kilang GMP tradisional hanya diperiksa dari sudut keselamatan
bukan keberkesanan ubat. Ketiga, dalam keadaan bagaimanapun, dispensing
penawar homeopati adalah selamat kerana tiada kandungan dadah dan urusan ini
boleh dirujuk kepada Bahagian Farmaseutikal Kebangsaan, Pusat Racun Negara
atau Kementerian Kesihatan.
Malang sekali dalam perkembangan homeopati di
Malaysia, ada syarikat-syarikat ubat tradisional yang tidak mengetahui
apa-apa pun mengenai homeopati boleh mengiklankan bahawa mereka mengilangkan
penawar homeopati dengan kilang GMP herba.
Ada daripada kalangan mereka tidak mempunyai
seorang pengamal pun di pejabat dan tidak mampu melayan sebarang masalah yang
dibangkitkan pengguna apabila pertanyaan-pertanyaan dikemukakan oleh pengguna
mengenai kesan ubat atau masalah-masalah sampingan lain.
Ini merupakan sesuatu yang mengaibkan pengamal
dan Persatuan Perubatan Homeopati di Malaysia.
Tetapi tiada apa pun yang dapat mereka lakukan
justeru pihak berkenaan telah tersilap meletakkan perubatan homeopati di
bawah sistem perubatan tradisional. Suatu perkara yang tidak wajar berlaku di
peringkat awal lagi.
Dalam keadaan perubatan tradisional gah dengan
kilang-kilang GMPnya, mereka yang kononnya memperjuangkan homeopati tersepit
di antara ketidakmampuan membina kilang sendiri dan akta yang ada.
-
MOHAMED HATTA ABU BAKAR, Besut, Terengganu.
E-mailkan
pendapat anda kepada: drhatta@hotmail.com
|