MAIN LINK

(Utusan Malaysia / tidak disiarkan)

 

Bahasa Inggeris Masih Bahasa Ilmu

dalam Homeopati

Oleh: Mohamed Hatta Abu Bakar, HMD.

 

Sewaktu hampir semua subjek dalam sistem pendidikan di Malaysia dibahasamelayukan lebih dua dekad yang lalu, kita boleh dikatakan berjaya memartabatkan bahasa Melayu. Malangnya, dalam usaha kita memartabatkan bahasa Melayu, penguasaan bahasa Inggeris di kalangan masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu semakin merosot. Ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dan amat mendukacitakan.

Sebagaimana dalam bidang komunikasi, IT dan akademik formal, bahasa Inggeris yang sedang hangat diperkatakan pada waktu ini juga merupakan bahasa penting dalam ilmu-ilmu yang tidak mendapat tempat di institusi pengajian tinggi. Ini dapat dilihat mengenai keperluannya dalam sistem perubatan alternatif, khususnya homeopati, yang pada asasnya merupakan suatu sistem yang mantap dan saintifik.

Homeopati merupakan ilmu perubatan yang berasal dari Jerman. Selepas diasaskan oleh Dr. Samuel Hahnemann, tokoh-tokoh yang menyumbang kepada perkembangan ilmu ini terdiri daripada para doktor yang menulis teks homeopati dalam bahasa Inggeris. Hampir semua teks utama yang ditulis oleh Dr. Hahnemann dan para doktor homeopati (yang sebahagian besarnya berasal daripada doktor alopati) dari Eropah serta lelain negara juga mempunyai terjemahan dalam bahasa Inggeris.

Buku-buku rujukan utama yang terdiri daripada organon perubatan, repertori, materia medika, sejarah kes, ujibukti penawar dan lain-lain lagi, semuanya dihidangkan dalam bahasa Inggeris. Teramat sedikit intisari daripada bahan-bahan itu yang diterjemahkan dan diajar (dalam bentuk nota kuliah) dalam kursus-kursus atau seminar homeopati di Malaysia.

Dengan buku-buku rujukan homeopati dalam bahasa Melayu yang teramat sedikit berbanding buku-buku akademik yang diterjemahkan untuk kegunaan institusi pengajian tinggi tempatan, apakah yang boleh diharapkan daripada lulusan homeopati tempatan. Bagaimanakah mereka akan mengayuh lebih jauh tanpa pendayung? Hanya dengan pendayung yang satu itu, dengan bahasa Inggeris sahajalah mereka boleh memperluaskan pengetahuan materia medika mereka dan dengan pendayung bahasa itu pulalah mereka boleh merayau-rayau dalam buku repertori bagi mencari penawar yang paling seraksi bagi pesakitnya apabila mereka berada dalam kebuntuan.

Pentingnya bahasa Inggeris ini tidak begitu dilihat oleh kebanyakan pengamal dan persatuan homeopati di Malaysia. Kerana itu, bukan sahaja syarat sijil kemasukan bagi mengikuti kursus homeopati dilonggarkan, malah mereka tidak melihatpun peri pentingnya bahasa ini dalam pembelajaran dan pengamalan homeopati. Tiada sebarang syaratpun yang mewajibkan pelajar homeopati lulus bahasa Inggeris untuk dianugerahkan diploma atau ijazah oleh persatuan homeopati di Malaysia. Justeru, ramai daripada mereka yang mengamal homeopati di Malaysia mahir berbahasa Melayu sahaja, dan sesetengahnya dapat berbahasa Melayu dan Arab. Tetapi bahasa Inggeris?

Dalam kegawatan ini, wajarlah agaknya saya menyuarakan lagi isu ini. Sebagaimana ramai bangsa Melayu tidak dapat menguasai ilmu-ilmu lain dengan baik dan tidak berjaya dalam pekerjaan kerana kelemahan dalam bahasa dunia ini, demikian jugalah keadaannya mereka yang terlibat dalam penerokaan ilmu perubatan homeopati dan amalan praktikal di klinik. Mereka pasti tidak akan mencecah kejayaan yang membanggakan.

Jadi, apakah pilihan yang ada bagi mereka yang serius dalam memperkembangkan ilmu perubatan homeopati ini? Pertamanya ialah mereka yang bertanggungjawab hendaklah menterjemah karya-karya asal yang menjadi panduan pengamal homeopati di seluruh dunia itu ke dalam bahasa Melayu. Atau keduanya, pastikan bakal pelajar terdiri daripada mereka yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik atau didiklah para pelajar dengan mewajibkan mereka mengambil subjek bahasa Inggeris.

Mungkin wajar juga, dalam keadaan semua orang ribut dan banyak gesaan dibuat untuk kembali kepada sistem aliran Inggeris, pensyarah boleh mengajar homeopati kepada para pelajar dalam bahasa Inggeris. Paling tidak, ajarlah mereka dalam dua bahasa. Ini akan pasti membantu. Apa lagi, banyak istilah-istilah Inggeris dalam perubatan homeopati itu yang tidak dapat diterjemahkan dengan tepat dalam bahasa Melayu melainkan dalam bentuk frasa. Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri tidak mempunyai kamus istilah perubatan homeopati.

Homeopati bukanlah ilmu perbomohan tradisional. Ianya bukan ‘herbapati’ atau ‘bomopati.’ Dalam bidang perbomohan dan rawatan herba tradisional, ramai pengamalnya memasukkan banyak unsur-unsur khurafat dan sesetengahnya memasukkan ayat-ayat al-Qur’an yang kadang-kadang dibaca tunggang terbalik atau tidak betul. Hanya beberapa orang sahaja yang berpengetahuan dan yang membaca ayat al-Qur’an serta menggunakan amalan doa secara tepat mengikut ajaran dan sunnah Rasulullah s.a.w.

 Seorang ahli homeopati tidak akan mencampuradukkan unsur-unsur magis dan mistik dalam rawatan mereka. Ini dinyatakan di dalam para 2 Organon Perubatan iaitu: “Cara penyembuhan yang paling ideal ialah mengembalikan  kesihatan dengan jalan yang  cepat,  lemah-lembut dan  berkekalan, atau menyembuhkan penyakit secara  keseluruhannya dalam jangka masa yang pendek, dapat dipertanggungjawab serta paling  tidak memudaratkan menurut kaedah yang ma’kul (rasional).” 

Timbulnya sesetengah pengamal homeopati yang membacakan doa ke atas penawar-penawar homeopati yang dipreskripsi kepada pesakit dan kemudiannya mengiklankannya kepada pelanggan adalah suatu perbuatan yang tidak menunjukkan amalan etika perubatan yang sepatutnya. Demikian juga terdapat beberapa individu pengamal yang menyatakan kepada pelanggan bahawa ubat-ubat homeopati yang digunakan di dalam rawatannya dipilih selepas dilakukan solat istikharah.

Kebanyakan mereka yang melakukan iklan sebegini adalah terdiri daripada mereka yang kurang mahir dalam pemilihan penawar berasaskan ‘hukum seraksi’ (Law of similars). Keadaan seumpama ini tentunya lahir kerana kejahilan mereka berkenaan sains homeopati dan tidak merujuk kepada Organon Perubatan (Organon of Medicine). Untuk mendalami sains homeopati dan memahami Organon Perubatan, tentulah mereka tidak mampu kerana kelemahan bahasanya.

Keberkesanan doa adalah suatu aspek yang berlainan dengan keberkesanan penawar. Pengamal homeopati muslim yang jujur seperti juga pengamal perubatan moden (alopati) muslim yang jujur. Mereka tidak menolak amalan doa dan solat istikharah, bahkan menerima amalan itu dengan baik. Dan sebagai seorang pengamal perubatan dan seorang muslim yang sejati, mereka juga akan meletakkan doa dan solat istikharah itu pada tempat yang sewajarnya.

Pendeknya, bagi menjadi seorang pengamal homeopati yang baik seseorang itu bukan sahaja mesti mahir dalam ilmu perubatan homeopati. Yang utama bersama dengan ilmu itu ialah dia mesti mahir dalam bahasa Inggeris dan memberi komitmen yang tinggi terhadap falsafah dan praktiknya. Apa lagi apabila homeopati juga turut berkembang mengikut arus ICT, mereka yang tidak prihatin terhadap bahasa ini akan ketinggalam.

Selain itu, seorang pengamal homeopati juga harus mahir ilmu anatomi, sains perubatan dan metafizik. Komitmen kepada agama juga penting dalam amalan perubatan homeopati kerana homeopati turut membicarakan aspek-aspek immaterial dalam falsafah dan amalannya. Tetapi mereka tidak memperkatakan persoalan tersebut sampai ke tahap mempergunakannya untuk kepentingan peribadi. Dengan ilmu yang cukup dan imej yang baik, barulah pengamal sistem perubatan homeopati akan dihormati dan diiktiraf. Wallahu a’lam.

E-melkan pendapat anda kepada: drhatta1@hotmail.com

 

 

 

 

1